Nuffnang

Monday, February 2, 2009

PINTU TAUBAT ALLAH

X tahu : Boleh berkenalan….

Aku : Renungan bersama: “Carilah hatimu di tiga tempat a)ketika membaca al-quran, b)ketika solat, c)ketika mengingati mati. Jika pada tiga tempat itu kamu tidak menemukan hatimu, maka mohonlah kepada Allah agar Dia memberimu hati, kerana sesungguhnya kamu ketika itu tidak memiliki hati..” Imam Al-Ghazali…

X tahu : Jika benar begitu..maka selama ni aku tak ada hati..mungkin sebab tu aku buta menilai sesuatu…mungkin juga sebab tu hidup aku sudah jauh menyimpang dari jalan yang benar..

Aku : Bukan manusia lah kalau tak buat silap…Cuma tugas kita apabila menyedari adalah menginsafi apa yang telah berlaku..siapa ni…?

X tahu : x apalah siapa saya tidak penting.. tapi bagaimana kiranya jika kita suda tak mungkin kembali pada ‘diri’ yang dulu…kerana aku sendiri tak mengenali ‘diri’ aku sekarang..

Aku : tak ada yang tak mungkin..bila mana kita kenal siapa Tuhan kita…yakni Allah..maka kita akan kenal siapa diri kita yang sebenar…masalah sebenar manusia tidak kenal diri sendiri adalah kerana tidak mengenali tuhannya… kamu kenal siapa saya..?

X tahu : itu tak penting

Aku : x apala…yang penting kamu hantar mesej pada saya kerana Allah..bukan untuk mempermainkan..mari kita sama-sama cuba perbaiki diri dan iman yang senipis kulit bawang ini ya… kerana kakak pun dalam proses memperbaiki dan mentarbiyah diri sendiri. Semoga ia boleh dijadikan bekalan untuk tempuhi hari mendatang juga di akhirat sana..amin…insyaAllah ya dik..
X tahu : terima kasih kak.. semoga akak bahagia selalu.

Kerana mesej singkat dan pendek ini, saya terpanggil untuk menulis tentang pintu taubat yang seringkali disalah eritakan ataupun kurang difahami oleh segelintir makhluk Allah yang bernama Manusia. Segelintir manusia akan terus hanyut dalam arus kegelapan mereka walaupun Allah telah memberi satu bayangan kepada mereka. Kesedaran. Itulah satu bayangan dari Allah. Ramai manusia kadangkala tersedar bahawa apa yang mereka lakukan selama ini adalah suatu dosa mereka kepada sang Pencipta. Tapi terus hanyut dan tidak kembali. Sedangkan kesedaran itu ada. Ini kerana satu kepercayaan yang tumbuh dalam hati mereka bahawa “tidak ada lagi harapan untuk Allah mengampuni ku..masakan Allah mengampuniku yang penuh bergelumang dengan dosa.” Dan akhirnya terus menerus dengan kegiatan mereka. Mentaliti mereka sudah disetkan dengan kenyataan seperti ini. Kenyataan yang tidak berasas. Sedangkan Allah itu maha Adil…maha pengampun…maha Penyayang terhadap makhluk-makhlukNya. Yang sentiasa membukakan pintu taubatnya untuk hamba-hamba-Nya.

Taubat dalam istilah arabnya Ta’ib yang bersinonim dengan Raji’. Ertinya kembali. Kembali kepada Allah s.w.t dengan penuh sungguh-sungguh. Dengan pengakuan, “Ya Allah, aku bertaubat kepadaMu. Aku kembali kepadaMu setelah sekian lama aku meninggalkanMu.”

Ingatlah bahawa sebesar mana kesilapan yang kita lakukan, pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita. Malah dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w berkata bahawa Allah sangat senang dengan hamba yang bertaubat.

Ketidakpercayaan bahawa dosa mereka akan diampuni dengan mudah bukan sahaja berlaku pada umat sekarang, tapi hatta pada umat zaman dulu. Dari Abu Dzar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t berfirman “sesiapa yang melakukan kebaikan maka ia mendapat sepuluh kali ganda atau lebih, dan barangsiapa yang melakukan keburukan, maka balasannya adalah satu kali ganda atau lebih diampuni, dan barangsaiapa yang melakukan dosa walaupun sebesar bumi, kemudian ia menemui Aku sedang dia menyekutukan Aku, Kuberikan kepadanya sebesar itu pula ampunanKu. Dan sesiapa yang mendekati Aku sejengkal nescaya Kudekati dia satu hasta, dan sesiapa yang mendekati Aku satu hasta nescaya Kudekati dia satu depa, dan barangsiapa berjalan maka Aku akan mendatanginya denagan lari-lari kecil..” (Musnad Imam Ahmad)

Lihatlah betapa besarnya kasih sayang Allah kepada kita. Cuma kita sahaja yang tidak tahu menghargai kasih sayang yang telah diberikan. Sekelumit rasa kita berikan untuk-Nya, sungguh tidak ternilai pula ganjaran yang Dia berikan untuk kita sebagai balasan dan imbalan atas kebaikan kecil yang kita lakukan. Sungguh tidak setimpal.

Menerusi hadith ini, salah seorang pemuda pada zaman Rasulullah s.a.w tidak mempercayainya, lalu ia berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, aku adalah seorang lelaki yang sering berkhianat kepada Allah. Dia mewasiatkan kepadaku dan menyuruhku tetapi aku tetap sahaja ingkar dan langgar. Hingga sering melakukan hal-hal keji.” Lalu Nabi S.a.w berkata padanya: “bertaubatlah.” Ia bertanya: “apakah Allah mengampuni pelanggaran-pelanggaran dan hal-hal keji yang telah ku lakukan selama ini…?” baginda menjawab: “benar.” Lalu lelaki tersebut terus lari sambil mengatakan: “maha besar Allah yang mengampuni pelanggaran-pelanggaran dan hal-hal kejiku di masa lalu.”

Tugas kita bila menyedari adalah menginsafi. Rasa kesedaran itulah sebenarnya tanda kasih Allah terhadap kita. Berapa ramai yang diberi kesedaran tetapi terus mengingkari sifat Allah iaitu At-Tawwab (Maha Penerima Taubat). Ragu dengannya, bermakna menolak dan tidak mempercayai sifatNya ini.

Seorang sahabat bertanya lantaran satu hadith iaitu: Annas r.a mengkhabarkan bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawa Allah telah berfirman “Hai bani Adam, selama engkau berdoa dan berharap padaKu, Aku ampunan apa yang terjadi pada kamu dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, andaikan dosamu memuncak ke langit, kemudian engaku meminta ampun kepadaKu, Aku ampunkan bagiMu, dan tidak Aku hiraukan betapa banyaknya. Hai bani Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan dosa sepenuh bumi, asalkan engkau tidak menyukutukan Aku dengan sesuatu pun nescaya Aku isi semua itu dengan pengampunan.”

Sahabat bertanya, “Allah ampunkan tidak orang yang pernah meyukutukan Dia dan menyembah selain Dia. Saya menjawab, “iya..Allah itu Maha Luas ampunanNya”. “masakan, sudah jelas hadith Nabi tadi kan. Allah mengampuni dosa-dosa selain menyukutukanNya.” Manusia yang hatinya gundah…hatinya gelisah…seringkali berfikiran singkat. Seringkali menyalahertikan. Sehingga membawa kepada kemungkaran. Saya tersenyum memandangnya dan menyatakan hadith (seperti di atas: dari Abu Dzar).

Allah s.w.t juga ada berfirman dalam ayat al-quran surah al-Furqan 68-70 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari Kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan terhina. Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Seorang sahabat lagi bertanya, “Allah terima taubat tidak orang yang umurnya sudah melepasi umur 50 tahun begitu. Bukankah Allah akan menutup pintu hati orang-orang yang sudah tua seperti ini yang masa mudanya penuh bergelumang dengan dosa. Dan bertaubat di ‘akhir senja’?” sekali lagi aku menjawab… “iya...kerana Allah itu Maha luas AmpunanNya..”

Satu kisah di zaman Nabi Musa, seorang lelaki dari Bani Israil yang telah melakukan kemaksiatan dan kemungkaran selama 40 tahun lamanya (40 tahun pun merupakan usia senja). Lelaki ini tidak pernah bertaubat kepada Allah atas maksiat yang dia lakukan. Kemudian, pada suatu tahun tibalah musim kemarau yang panjang. Hujan tidak turun sekali pun di tanah Bani Israil, sehingga haiwan-haiwan ternakan terkena penyakit dan tanaman kekeringan. Sungai-sungai sebagai sumber minuman juga kering kontang. Lalu mereka berkata: “wahai Musa, berdoalah kepada Allah supaya turun hujan”, lalu Nabi Musa pun mengumpulkan kesemua Bani Israil: “marilah kita berdoa: Ya Allah, Hujan…Ya Allah, hujan…Ya Allah, turunkanlah hujan.”

Namun hujan tidak juga kunjung turun. Lalu Nabi Musa berkata: “Ya Allah, biasanya engkau mengabulkan permintaanku, tetapi kenapa hujan belum turun?” lalu Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Musa: “Wahai Musa, hujan tidak akan turun kerana di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat kepadaKu selama 40 tahun, hingga kesialan yang dibawa oleh kemaksiatannya menjadikan kalian tercegah dari hujan yang turun dari langit”

Lalu Musa berkata: “Tuhan, apa yang harus kuperbuat?” Allah berfirman: “keluarkan orang itu di antara kalian. Renungkanlah bagaimana orang yang bermaksiat membuat tuhannya murka.” Kemudian Musa bangkit seraya berkata: “wahai Bani Israil. Aku bersumpah atas kalian. di antara kita ada seorang hamba yang bermaksiat kepada Allah sudah 40 tahun, dan dengan kesialan yang dibawa oleh kemaksiatannya, sehingga itulah penyebab kita tercegah dari hujan. Hujan tidak akan turun sehingga orang itu keluar. Hendaklah dia keluar dari kelompok kalian.”

Orang yang melakukan kemaksiatan tersebut sedar bahawa perkatan tersebut ditujukan pada dirinya. Ia pun mula menoleh-noleh orang di sekitarnya, mugkin saja ada orang lain selain dia yang keluar, ternyata tidak ada. Maka mulailah hamba tersebut bermunajat keapda Tuhannya. “Tuhan, aku bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun dan selama ini pula Engkau tutupi. Maka pada hari ini, jika aku keluar dari negeri ini, maka segala aibku akan terbongkar, dan aku berjanji kepada-Mu tidak akan mengulangi kemaksiatanku itu lagi. Ya Allah terimalah taubatku dan tutupilah aibku”.
Tiba-tiba hujun pun turun dari langit. Lalu berkatalah Musa: “Tuhan, hujan sudah turun tetapi tidak seorang pun yang telah keluar.” Maka Allah berfirman: “Wahai Musa, hujan turun kerana kegembiraan-Ku atas bertaubatnya hambaKu yang bermaksiat kepadaKu sejak 40 tahun lalu. Lalu Musa berkata lagi: “Ya Allahku, tunjukkanlah padaku orang tersebut agar aku turut bergembira atasnya. Allah s.w.t pun berfirman: “Musa, dia telah bermaksiat selama 40 tahun dan selama itu pula Aku tutupi, pada hari dia kembali kepada-Ku, Ku buka keaibannya..?”

Sesungguhnya tidak pernah Allah membiarkan…tidak pernah Allah meninggalkan… dan tidak pernah Allah tidak mengendahkan. Cuma kita yang tidak mengenali…tidak memahami….betapa kita memerlukan Allah dalam kehidupan kita. Sedang Rasulullah s.a.w sering bertaubat dan meminta ampunan kepada Allah dalam setiap perkara sedangkan telah nyata dijanjikan syurga untuknya, inikan lagi kita. Renungkanlah sabda Rasulullah s.a.w: “Wahai manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah. Beristighfarlah kepada-Nya, sungguh aku bertaubat kepada Allah seratus kali setiap hari.” (HR. Imam Ahmad dan Muslim).

Dalam sebuah riwayat dari Ibnu Umar r.a, beliau berkata: “dalam sebuah acara pertemuan dengan para sahabat, sungguh kami mengira Rasulullah s.a.w mengucapkan seratus kali kalimat “Ya Allahku, ampunilah aku dan terimalah taubatku. Sungguh Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang” (HR. Turmudzi dan Abu Daud).

SYARAT BERTAUBAT

a) Menyesal. Ia adalah sebaik-baik taubat. Di mana, hati kita akan rasa bergetar bilamana kita teringat dosa yang kita lakukan. Kita menyesal dan takut yang teramat sangat. Sehingga kita mampu menitiskan air mata penyesalan. Kita terasa hiba ketika bertemu dan sujud di ribaan Allah, meratap penuh sayu di akhir sujud memohon ampunan dan redha-Nya. Bukan paksaan atau dibuat-buat tetapi benar-benar lahirnya keinsafan di dalam hati.

b) Meninggalkan dosa dan menjauhkan diri dari tempat-tempat yang dapat mempengaruhi tindakan dosa tersebut.
c) Tekad dan kesungguhan yang kuat. Berjanji kepada Allah dengan sepenuh perasaan untuk tidak lagi mengulangi dosa itu lagi.

Sunday, February 1, 2009

YA ALLAH....

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami. Tutupilah keburukan-keburukan kami. Kasihanilah kami yang lemah ini. Ringankan urusan kami. Merdekakan kami dari api neraka. Sembunyikan aurat kami. Ampuni kesalahan-kesalahan kami. Terimalah taubat kami. Bersihkan segala kegelisahan dan kekhilafan kami. Ya Allah, janganlah Engkau cabut nyawa kami jika bukan dalam redha-Mu.

Ya Allah, keluarkanlah kami dari dunia dnegan cara yang baik. Kami memohon perlindungan kepada Engkau dari kematian dalam keadaan maksiat. Kami memohon keampunan sebelum kami mati. Kami memohon mati syahid ketika mati. Rahmat, kenikmatan, kelapangan dan kebahagiaan Engkau berikan kepada kami sesudah mati. Berilah kami kehidupan seperti kehidupan orang-orang yang berbahagia.

Berilah kami kematian seperti kematian orang-orang yang mati syahid. Kumpulkan kami dalam kelompok nabi-nabi dan menangkan kami atas musuh-musuh kami. Berilah kami kehidupan yang indah, kematian yang baik dan tempat kembali yang tidak hina lagi memalukan. Terimalah taubat kami sekarang. Jadikanlah kami orang-orang yang suka bertaubat.

Kembalikanlah kami kepada-Mu dengan cara yang baik. Kami memohon perlindungan kepada-Mu dari kesesatan di dunia dan lalai dari-Mu. Kami memohon perlindungan kepada-Mu dari melupakan-Mu, padahal Engkau tidak akan melupakan kami. Turunkanlah kabaikan kepada kami dan angkatlah segala keburukan kami. Dengan Rahmat-Mu, Engkau menyayangi kami padahal Engkau tidak berhajat apapun terhadap kami.

Sedangkan kami seakan-akan membenci Engkau dengan melakukan kemaksiatan, padahal kami sanagt berhajat kepada Engkau. Ya Wadud, maafkanlah orang-orang miskin, kasihanilah orang-orang lemah. Ampunilah orang-orang yang bergelumang dengan dosa ini. Wahai Dzat yang menyukai rintihan orang-orang yang bergelumang dengan dosa di waktu mereka kembali kepada-Mu.

Terimalah taubat kami. Ya Rabb, harapan kami telah putus kecuali kepada Engkau. Pintu-pintu di hadapan kami telah tertutup kecuali pintu-Mu. Hamba-Mu banyak, sedangkan kami tidak memiliki Tuhan selain Engkau. Terimalah kami dan redhailah kami.. Amin.